Home » TEMA MALAYSIA PRIHATIN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KALI KE-63

TEMA MALAYSIA PRIHATIN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KALI KE-63

Pada 31 Ogos ini, Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63. Sambutan pada tahun ini pastinya berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Bagaimanapun Hari Kebangsaan tetap akan disambut dalam suasana penuh perpaduan dan patriotik meskipun Malaysia sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu “Malaysia Prihatin”, keprihatinan rakyat Malaysia dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik Covid-19 sentiasa diperkatakan. Sesungguhnya perjuangan ini masih belum selesai. Melalui laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Info Covid-19 Malaysia, setiap hari akan ada kes-kes baharu yang dilaporkan. Dengan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia, kita pasti berjaya! Perjuangan ini akan berakhir secepat mungkin. Pengorbanan masa dan tenaga barisan petugas hadapan (frontliners) dalam usaha untuk memutuskan penularan pandemik Covid-19 membuktikan keprihatinan mereka dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia. Merekalah wira-wira negara. Sewajarnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapat pengiktirafan dunia menerusi Anugerah BrandLaureate oleh The Worlds Brands Foundation.

Melalui fasa “Kuarantin Malaysia”, kita juga dapat melihat keprihatinan kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang berkonsepkan “Lindungi rakyat”, sebanyak 250 bilion diperuntukkan untuk membantu golongan B40 dan M40 serta sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hari ini rakyat bersama-sama dengan kerajaan dan industri berusaha memulihkan ekonomi negara melalui keprihatinan bersama dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Pada tahun ini juga Malaysia meraikan sambutan Jubli Emas Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. Prinsip-prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara bertujuan untuk mencapai satu pegangan terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan.  Oleh itu, keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Rukun Negara diharap dapat mengekang kontroversi atau provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan antara kaum. Perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai. Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk memelihara dan menghargainya. Pastinya Malaysia akan terus aman dan damai dengan menjadikan Rukun Negara sebagai asas dalam menentukan hala tuju negara.

Atas keprihatinan ini, Unit Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM University) turut menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan. Edaran pelekat cermin kereta dalam tulis jawi bertulis “Malaysia Tanah Airku” kepada kakitangan dan para pelajar DRB-HICOM University bertujuan untuk memartabatkan semula tulisan jawi yang semakin terpinggir. Dengan usaha ini, tulisan jawi dapat diperkasa dan dibudayakan agar tidak hilang ditelan zaman. Usaha ini bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh Daerah Pekan sebagai perintis dalam memartabatkan tulisan jawi. Begitu juga dengan Pertandingan Melukis Peringkat Sekolah Rendah, Kuiz Sayangi Malaysiaku dan Pertandingan Penulisan Sajak serta Pantun bertemakan kemerdekaan adalah satu inisiatif yang diambil oleh Unit Pengajian Umum dalam memupuk keprihatinan para pelajar terhadap semangat cintakan Malaysia. Sebagai institusi pengajian tinggi amat besar peranan yang dimainkan oleh DRB-HICOM University sebagai penghubung kepada masyarakat dalam menyalurkan keprihatinan terhadap negara.

Semoga sambutan Hari Kebangsaan kali ke-63 yang bertemakan Malaysia Prihatin mencapai matlamat yang diharapkan. Keprihatinan rakyat Malaysia dalam mengekalkan perpaduan antara kaum menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni. Ini adalah tanggungjawab bersama yang menuntut keprihatinan seluruh rakyat Malaysia. Ibarat peribahasa Melayu, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

 

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KALI KE-63, MALAYSIA PRIHATIN.

 

Disediakan oleh:

Puan Nurul Farhah binti Hamidi,

Pensyarah Unit Pengajian Umum,

Faculty of Business and Management, DRB-HICOM University.

PIC – Community Brigade, Centre of Excellence, DRB-HICOM University.