Home » Penggunaan Model Assure dalam Pengajaran Matapelajaran Pengajian Umum

Penggunaan Model Assure dalam Pengajaran Matapelajaran Pengajian Umum

oleh

Nurul Farhah Hamidi

Pensyarah Matapelajaran Pengajian Umum School of Foundation and Interdisciplinary Studies (SOFIDS) DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.

 

Rekabentuk pengajaran merupakan satu pendekatan yang sistematik dalam menyediakan bahan pengajaran bagi mencapai objektif pembelajaran yang spesifik. (Yusuf Hashim, 1998). Penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu meningkatkan pencapaian pelajar. (Sivadasan, C. 2003). Oleh itu, rekabentuk sistem pengajaran (ISD) merupakan satu kaedah yang teratur dalam menganalisis, merekabentuk, membina, melaksana dan menilai proses pengajaran. Kegagalan dalam pelaksanaannya boleh menyebabkan pengajaran menjadi tidak teratur dan objektifnya tidak tercapai. Tambahan pula, berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas 23 orang tenaga pengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA), lebih 50% daripadanya tidak yakin dengan amalan merancang dalam merekabentuk pengajaran mereka. Manakala 30.4% pula mengamalkan perancangan dalam merekabentuk pengajaran. Sementara itu, 10.13% tenaga pengajar tidak mengetahui tentang perancangan dalam merekabentuk pengajaran. (Rio Sumarni Sharifuddin, 2007). Ini jelas menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan pensyarah tidak melaksanakan perancangan dalam merekabentuk pengajaran.

Sehubungan itu, untuk merangka rancangan pengajaran Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), Model ASSURE telah digunakan. Ia diasaskan oleh Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino pada tahun 1996 yang bertujuan untuk merekabentuk pengajaran dengan penggunaan media secara sistematik. ASSURE diambil daripada perkataan assure yang bermaksud memastikan. Ini bertujuan untuk memastikan pembelajaran berlaku di dalam kelas. Model ASSURE menumpukan kepada pembelajaran dan elemen yang wujud di dalam kelas seperti guru, pelajar, kurikulum dan kemudahan. (Sivadasan, C. 2003). Pemilihan Model ASSURE adalah bertepatan dengan struktur baharu Garis Panduan MPU yang berhasrat melahirkan graduan holistik, menghayati nilai-nilai patriotisme dan jati diri beracuankan Malaysia serta menguasai kemahiran insaniah ke arah memenuhi kebolehpasaran kerja.

Terdapat enam langkah utama di dalam Model ASSURE yang digambarkan di dalam Rajah 1. Pelaksanaannya dibahagikan kepada lima peringkat iaitu sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran, persiapan sebelum memulakan pengajaran, pemulaan pengajaran, ketika berlangsunya pengajaran serta di akhir pengajaran. (Sivadasan, C. 2003). Pelaksanaan Model ASSURE dalam pengajaran MPU adalah sejajar dengan matlamat Kementerian Pendidikan yang mementingkan penerapan nilai moral, jati diri kebangsaan, kefahaman terhadap budaya dan ketamadunan, kesedaran diri dan kemahiran berinteraksi sesama manusia. Oleh itu, penglibatan para pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran MPU dapat mendedahkan mereka dengan kepakaran ilmu dan teknikal yang relevan. Ini bersesuaian dalam melahirkan para pelajar yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan dapat menangani cabaran global serta berupaya dalam membuat keputusan yang beretika.

Rajah 1 : Model ASSURE

AAnalyze Learners (Menganalisis Pelajar)Sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran.
SState Objectives (Menyatakan Objektif)Persiapan sebelum memulakan pengajaran
SSelect Methods, Media Materials (Memilih Kaedah, Media dan Material)Ketika bermulanya sesi pengajaran.
UUtilize Media & Materials (Menggunakan Media dan Material)Ketika berlangsungnya sesi pengajaran.
RRequire Learner Participation (Memerlukan Penglibatan Pelajar)Ketika berlangsungnya sesi pengajaran.
EEvaluate & Revide (Melakukan Penilaian dan Pengubahsuaian)Di akhir sesi pengajaran dan
pembelajaran

Berdasarkan Rajah 1, analisis dilakukan bertujuan untuk membantu pensyarah-pensyarah dalam merancang pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan para pelajar. Ini berdasarkan kepada ciri-ciri umum pelajar, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada serta gaya belajar. Ciri-ciri umum pelajar termasuklah umur, semester, program, jantina, penempatan, budaya dan sebagainya. Pengalaman sedia ada pelajar pula dapat membantu para pensyarah dalam memilih pengisian sumber pembelajaran yang sesuai. Manakala, pengetahuan tentang gaya pembelajaran pelajar pula dapat membantu para pensyarah dalam merancang pengajaran dan pembelajaran yang efektif.

Pada masa yang sama, objektif pengajaran dan pembelajaran perlu disampaikan secara jelas. Ia bertindak sebagai hala tuju pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan. Penekanan diberikan kepada apakah yang pelajar boleh buat selepas menjalani proses pembelajaran. Langkah yang seterusnya ialah memilih kaedah, media dan material. Setiap perancangan pengajaran yang baik memerlukan pemilihan kaedah, media dan material yang dibuat secara secara sistematik dan terancang. Menurut Mc Alpine dan Wetson (1994) yang dipetik oleh Sivadasan, C. (2003), pemilihannya dibuat berdasarkan kepada beberapa perkara seperti menepati standard kurikulum, mempunyai laras bahasa yang bagus, menarik penglibatan pelajar dan memotivasikan mereka, keberkesanan bahan yang digunakan, berkualiti, bebas daripada pengaruh iklan serta terdapat panduan pengguna.

Sementara itu, sebelum memilih media dan material yang digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran, pensyarah hendaklah mengkaji, menyemak dan menontonnya terlebih dahulu. Ia bagi memastikan bahan tersebut benar-benar bersesuaian dengan kumpulan pelajar serta objektif pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik penglibatan pelajar. Ini kerana pembelajaran yang melibatkan pelajar untuk berfikir atau bergiat aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Oleh demikian, latihan dalam bentuk perbincangan, latih tubi, latihan bertulis dan permainan bahasa dapat mengekalkan penglibatan pelajar di dalam aktiviti pembelajaran. Sungguhpun demikian, penilaian seharusnya dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pemilihan objektif, media dan bahan sumber bersesuaian dengan keupayaan pelajar.

Melihat kepada kepentingannya, pengabaian kepada aspek model rekabentuk pengajaran dalam membangunkan kos MPU akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku tidak mencapai objektif. Kesannya, matlamat kementerian dalam membekalkan pelajar dengan ilmu persediaan untuk hidup dalam masyarakat moden tidak tercapai.

 

     RUJUKAN

 

  1. Sivadasan, C., (2003) Penghasilan dan Penilaian Modul Pengajaran Kendiri Nilai Semangat Bermasyarakat untuk Pendidikan Moral Tingkatan Empat, Masters thesis, Universiti Malaya.

 

  1. Rio Sumarni Sharifdin, (2007), Design of Instructional Material for Teaching and Learning Purposes Theory into Practice, in . V. Robert A. Reiser, Trend and Issues in Instructional Design and Technolog.

 

  1. Yusuf Hashim, (1998), Media Pengajaran untuk Pendidikan, Shah Alam: Fajar Bakti