Home » KORBAN – DEFINISI, SYAFAAT DAN ISU SEMASA

KORBAN – DEFINISI, SYAFAAT DAN ISU SEMASA

KORBAN – DEFINISI, SYAFAAT DAN ISU SEMASA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

InsyaAllah, pada hari Jumaat ini seluruh umat Islam di dunia khususnya di Malaysia bakal meraikan Hari Raya Aidiladha. Tanggal 31 Julai 2020 bakal menjadi tarikh keramat yang akan diingati sampai bila-bila. Masakan tidak, ramai yang tidak berpeluang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini dimana Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan syarat-syarat tertentu sahaja. Ia suatu yang tidak terduga lantaran virus Covid-19 yang masih tiada penawarnya.

Perasaan sebak dan pilu tidak terkata apabila bakal jemaah yang barangkali telah pun membuat persiapan untuk ke Tanah Suci tidak dapat berangkat ke sana pada musim haji ini. InsyaAllah, pasti besar hikmah daripadaNya. Namun begitu, kita masih boleh menarik nafas lega kerana kerajaan Malaysia memberi kelonggaran melakukan ibadah korban.

Setiap syariat, hukuman atau perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT pastinya mempunyai tujuan dan matlamat tertentu walaupun kadangkala ia agak berat atau sukar untuk dilakukan. Begitulah juga dengan perintah ibadah korban yang dari segi sejarahnya dimulakan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.”

Ibadah korban sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya ibadah korban adalah kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana juga dengan ibadat solat. Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran aspek takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.

 

Sebagai pengakuan kepatuhan dan ketaatan pada Allah. Aspek ini dapat dikaitkan dengan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanku ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah diri kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang tunduk patuh (kepada Allah).”

Sebagai penyaksian amal di hadapan Allah. Ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketaatan, ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar serta berlipat ganda dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud, “Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah). Selain itu, pada hari akhirat kelak, binatang yang kita korbankan itu akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang dilaksanakan.

Firman Allah SWT dalam surah al An’am ayat 162-163 yang bermaksud:

“Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku (korbanku), hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).”

Walaupun ada yang mengeluh dengan prosedur operasi standard yang ketat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, tetapi bersyukurlah dengan kesempatan yang diberikan. Namun terdapat isu dan persoalan yang timbul antaranya korban di dalam dan luar negara, yang manakah lebih afdal? Adakah pahala yang bakal diperoleh juga sama?

Terdapat dua perkara utama apabila berbicara tentang ibadah korban di luar negara. Pertama, ia melibatkan proses mewakilkan individu untuk melakukan sembelihan di sana. Kedua, kita sendiri yang melakukannya ketika berada di negara berkenaan.

Dalam dua situasi tersebut, para ulama menyatakan, tiada masalah dan harus hukumnya untuk melakukan korban di luar negara. Ini bermakna, kita boleh buat (ibadah korban yang sunat) di mana-mana saja. Perkara yang diambil kira adalah tempat ketika orang itu melakukan korban, bukannya tempat asal kelahirannya. Ia termasuk juga dalam ibadah korban yang wajib seperti nazar dan sumpah.

Ketahuilah, tempat bukanlah syarat utama untuk ibadah korban. Syarat utama ibadah korban termasuk juga akikah, ia hanya melihat kepada pematuhan semua rukun dan syarat sembelihan korban. Dari segi pahala, ibadah berkenaan tetap mendatangkan pahala kepada mereka yang melakukannya tidak kiralah di dalam negara mahupun luar negara.

Buatlah penilaian dengan bijak. Tidak ada masalah sama ada untuk berkorban di tempat sendiri mahupun berkorban secara wakil ke luar negara. Jika ada lebihan wang, maka tidak ada salahnya untuk memilih kedua-dua. Atau boleh juga bergilir setiap tahun antara berkorban di tempat sendiri dan juga di luar negara. Namun, adakalanya keperluan ibadah tersebut tidak tercapai dengan baik jika berlakunya pembaziran daging korban atau terlalu banyak wang tunai yang dibelanjakan untuk ibadah korban sunat itu. Apatah lagi sewaktu ada yang terdesak kewangan disebabkan terkesan dengan impak wabak Covid-19.

Pihak terlibat perlu berwaspada dan memastikan wang yang diberikan untuk tujuan ibadah korban digunakan secara optimum. Ambil kira maslahat orang miskin walaupun tidak wajib diberikan semuanya kepada mereka. Sebaik-baik ibadah korban buatlah ikhlas keranaNYa. Semoga segala amalan diterima oleh Allah SWT sebagai bekalan ampuh ketika di akhirat kelak. Salam Aidiladha.

 

General Studies, Faculty of Business and Management

(Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)